Wednesday 11 February 2015

Fatwa Nada Dering guna ayat Al-Quran

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Dan Laungan Azan Dalam Nada Dering Dan Paparan Skrin Di Dalam Telefon Bimbit. Muzakarah telah memutuskan:

“Bahawa pada prinsipnya Islam tidak menghalang penggunaan nada dering ayat-ayat suci Al-Quran ini dengan syarat penggunaannya menepati adab yang telah ditetapkan oleh Islam dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat-ayat suci tersebut seperti di dalam tandas”.

Justeru, jika sekiranya penggunaan nada dering ayat-ayat suci Al-Quran menyalahi adab dan prinsip yang ditetapkan oleh Islam, maka ia hendaklah dielakkan. Antara adab-adab syarak yang mesti dijaga berkenaan dengan perkara ini ialah:

Nada dering ayat suci al-Quran tidak harus diaktifkan ketika telefon bimbit berada di tempat-tempat seperti tandas. Pengguna hendaklah menukar kepada nada dering lain ataupun mengaktifkan mode ‘silent’ ketika memasuki tempat-tempat tersebut.

Ketika nada dering ayat Al-Quran berbunyi, pengguna hendaklah sentiasa menjaga adab mendengar bacaan al-Quran.

Telefon bimbit yang sedang diaktifkan nada dering bacaan ayat Al-Quran tidak diletakkan di dalam poket seluar bahagian belakang, bagi mengelakkan bacaan al-Quran kedengaran dari tempat yang tidak selayaknya.

Nada dering ayat al-Quran hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang pendek, bagi mengelakkan daripada pengguna menghentikan bacaan ayat Al-Quran sebelum lengkap maknanya.

Nada dering ayat Al-Quran tidak dijadikan semata-mata sebagai alat untuk menerima panggilan telefon, tetapi mestilah diiringi niat yang betul untuk sentiasa diperdengarkan dengan Al-Quran.

Jika sekiranya adab-adab berkaitan Al-Quran dijaga, maka tidak ada halangan untuk menjadikan ayat Al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit.

No comments:

Post a Comment

Jom Baca

.. ..

Info Masakan

.. ..

My Blog List